Dina Nadzir
Dina Nadzir

Menurut Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 32,  kali terakhir dia bercinta adalah lapan tahun lalu dan selepas itu fokusnya hanya kerja.

“Ikutkan saya hanya pernah bercinta sekali dan selepas berpisah saya terus solo sampai sekarang. Soal tekanan memang tidak ada, mungkin sebab kehidupan saya juga sibuk dengan kerjaya dan sebagainya.

“Namun kalau boleh saya sudah berniat mahu menamatkan zaman bujang di umur 40 tahun. Bagi saya melihat kawan-kawan lain yang memilih untuk berkahwin lewat juga membuatkan saya tidak terlalu memikirkan soal ini lagi,” katanya.

Sudah hampir lapan tahu bergelar penyampai radio di stesen radio Era FM, bagi Dina, kerjaya di konti radio merupakan satu-satunya punca rezekinya pada masa ini.

“Saya juga tidak sangka akan bertahan selama ini sebab pada mulanya hanya mahu mencuba. Sebenarnya saya sudah jatuh cinta dengan kerjaya sebagai penyampai radio dan tidak melihat perlu saya meninggalkannya buat masa ini.

“Menyanyi masih seperti dahulu, namun perlu faham dengan keadaan jadual kerja. Saya tidak pernah mengatakan akan meninggalkan bidang nyanyian,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE