Berdasarkan pesanan mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp, penerbit lagu berkenaan meminta media agar merujuk isu berkenaan kepada Datuk M. Nasir selaku pemilik syarikat Luncai Emas.

Ini kerana, Luncai Emas adalah syarikat rakaman yang menerbitkan lagu Ku Kejar Bayangmu, nyanyian Idris, karya asal milik Ayai Ilusi yang dikatakan telah diciplak oleh Syamel.

Bagaimanapun, melalui komen yang dibuatnya di laman Instagram @hitsutusanmalaysia, Edry telah memberi maklum balas yang ditujukan kepada Ayai, komposer asal lagu berkenaan.

"Jika ada masalah, call (hubungi) saya terus ya Abang Ayai, tak perlulah melalui pihak media nak sensasikan cerita, merosakkan silaturrahim saja," memetik katanya dalam komen yang dibuat pada Khamis lalu.

Komen tersebut dibalas bagi menjawab artikel Mega HITS bertajuk 'Ayai berkecil hati dengan Edry' terbitan akhbar Utusan Malaysia pada Khamis lalu yang telah dimuat naik di laman sosial berkenaan.

Isu lagu ciplak, Syamel tidak berpeluang ke Anugerah Juara Lagu

Lagu Hidup Dalam Mati nyanyian naib juara Akademi Fantasia 2015, Syamel dikatakan terpaksa mengundur diri daripada Semi Final Muzik-Muzik Ke-31 yang berlangsung semalam sekaligua tidak akan berpeluang untuk dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu ke-31 Januari depan.

Penyanyi kumpulan Illusi,  Ayai Ilusi mendakwa, keputusan tersebut dibuat oleh Edry sendiri.

"Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan persaingan tetapi Edry tetap dengan pendiriannya menarik diri. Jadi saya akur," katanya.

Kontroversi mengenai lagu popular itu tercetus apabila  Ayai membuat pendedahan mendakwa dirinya adalah pemilik asal kepada lagu itu.

Pendedahan Ayai itu mengejutkan sekali memandangkan melodi dan ciptaan asal Hidup Dalam. Mati sebelum ini dianggap oleh peminat sebagai milik Syamel yang turut menulis lirik lagu berkenaan.-UTUSAN ONLINE