Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kota Kinabalu dalam satu kenyataan berkata, tumpahan cecair berbahaya itu dikesan ketika pesawat berkenaan berada di kawasan parkir 5B di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Menurut jabatan itu, sepasukan anggota dari Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dihantar ke lokasi pada pukul 6.23 petang untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Sebanyak 10 anggota pasukan Hazmat dihantar ke lokasi selepas menerima aduan daripada pihak lapangan terbang pada pukul 6.15 petang.

"Pembersihan ke atas bahan asid dilakukan menggunakan serbuk sulfur sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas dan diserahkan kepada pihak lapangan terbang untuk tindakan selanjutnya," kata jabatan itu.

Sementara itu, menurut sumber, asid tersebut berpunca daripada bateri yang pecah di dalam kargo berkenaan.

Setakat ini masih belum dipastikan jika ada mangsa yang tercedera atau menerima rawatan kecemasan.

Difahamkan, pesawat tersebut yang membawa penumpang baru sahaja mendarat di KKIA selepas tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - UTUSAN ONLINE