Perancis melakukannya dengan penuh bergaya apabila menundukkan Croatia 4-2.

Meskipun 30 minit pertama permainan, kedua-dua pasukan kelihatan setara dengan kedudukan 1-1, namun kualiti barisan pemain bintang Perancis ternyata terlalu kuat untuk dihadapi Croatia.

Berikut merupakan lima kesimpulan perlawanan akhir Piala Dunia 2018:

1. Pemain bintang Perancis

Pentas final digunakan sebaiknya oleh pemain-pemain bintang Perancis untuk mengukuhkan nama.

Griezmann menerusi gol penalti dan sepakan percuma yang menghasilkan gol.

Mbappe terus menyinar dan tidak menoleh ke belakang dengan gol cantik serta beberapa larian memukau. Baru berusia 19 tahun, pemain muda terbaik Piala Dunia.

Pogba (akhirnya) menunjukkan prestasi yang mirip ketika beraksi bersama Juventus, meskipun beberapa sudut permainannya boleh diperbaiki.


2. Deschamps

Mencipta sejarah. Memenangi Piala Dunia bersama Perancis pada 1998 sebagai ketua pasukan.

Dan 20 tahun kemudian memenangi piala dunia sebagai Pengurus Perancis.

Legenda.

3. Sisi lucu Lloris

Banyak drama di pentas akhir piala dunia kali ini. Seperti Perisic daripada hero kepada zero, beberapa peminat menceroboh padang ketika permainan, penalti VAR.

Tetapi yang paling mencuit hati ialah kesilapan Lloris membolehkan Croatia menjaringkan gol kedua ketika Perancis selesa dengan 4 gol.

Tidak tahu 'skill' apa yang mahu dipamerkan Lloris tetapi aksi penjaga gol Tottenham Hotspurs itu amat melucukan.

4. Pertahanan Croatia

Dengan aksi seperti dipamerkan pada pentas final dan empat gol dibolosi, pertahanan Croatia merupakan 'punca' kekalahan pasukan.

Aksi Lovren jauh sekali untuk diangkat sebagai salah seorang pertahanan terbaik dunia (walaupun Lovren merasakan begitu).

Sekiranya Croatia mempunyai seorang pertahanan tengah yang berwibawa dan benar-benar berkelas dunia, keputusan mungkin berubah, atau sekurang-kurangnya tidak bolos empat gol.

5. Perisic

Perisic mencipta nama di Dourtmund. Tetapi lebih banyak sebagai pemain simpanan. Kemudian berhijrah ke Wolfsburg di mana dia bergandingan dengan De Bruyne, namanya semakin dikenali.

Kariernya semakin melonjak apabila berpindah pula ke Inter Milan dan sehingga kini bersama kelab itu.

Pada Euro 2016, Perisic mencuri tumpuan dunia dengan aksi memberangsangkan sehingga dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab besar lain, antaranya Manchester United.

Dengan aksi pada edisi Piala Dunia kali ini, ditambah gol pada peringkat akhir, saham Perisic terus meningkat. Bukan kejutan sekiranya lebih banyak kelab besar berebut tandatangan pemain sayap itu. - UTUSAN ONLINE