Penyerahan barangan dalam program Back To School yang baru memasuki edisi kedua itu merupakan antara berita baik hujung tahun dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah.

Menurut seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Maluri, Siti Asyikin Rosli, 17, dia dan kawan-kawannya yang menerima sumbangan persekolahan tersebut mengucapkan rasa syukur.

“Sekurang-kurangnya dengan penerimaan baucer dan wang tunai ini ibu bapa kami tidak lagi perlu runsing mencari wang lebih untuk menyediakan kelengkapan pembelajaran kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Dewan Komuniti UMNO Taman Maluri, di sini.

Seorang pekerja swasta, C. Gowri, 34, pula berkata, penerimaan itu bukan sahaja membantu dalam menjimatkan perbelanjaan persekolahan anaknya malah ia menunjukkan keprihatin wakil rakyat di situ.

“Anak saya cukup teruja untuk memakai beg baharu pada sesi persekolahan nanti dan diharap program-program sebegini akan terus diadakan pada setiap hujung tahun,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang persara tentera, Mohd. Adi Abd. Hamid, 49, program Back To School yang dianjurkan Parlimen Titiwangsa dan Amanah Raya kali ini ibarat sebuah program yang memahami situasi masyarakat.

“Ini kerana apabila ada pihak yang sudi memberikan bantuan, bajet persekolahan anak itu dapat digunakan untuk perbelanjaan harian keluarga seperti biasa.

“Apa-apa pun, jutaan terima kasih ingin saya ucapkan kepada Ahli Parlimen Titiwangsa serta Amanah Raya Berhad (Amanah Raya) kerana prihatin dalam usaha mahu membantu rakyat,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir merasmikan Majlis Penyampaian Back To School diiring Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Adenan Md. Yusof. - UTUSAN ONLINE