Menurut kenyataan dikeluarkan Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, jumlah yang menerima rawatan turut meningkat kepada 33 orang.

“Sehingga pukul 5 petang tadi, kita menerima laporan kematian sebanyak tujuh orang di Sungai Buloh, manakala masing-masing empat di Gombak dan Kajang,” kata kenyataan itu.

Sementara itu Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor memberitahu Bernama, 33 lagi mangsa dirawat di Hospital Sungai Buloh (15 orang), Hospital Kajang (15 orang), Hospital Selayang (seorang), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (seorang) dan Hospital Shah Alam (seorang) kerana mengalami simptom yang sama.

"Mangsa pertama yang merupakan pekerja sebuah kilang di Sungai Buloh maut sekitar pukul 7 malam semalam dan laporan mengenai kematian itu dibuat oleh majikannya. Kemudian, dua lagi kematian berlaku malam tadi.

"Pagi tadi didapati berlaku tiga lagi kematian, seorang lagi mangsa dilapor maut sekitar pukul 4 petang tadi dan yang terbaharu sehingga pukul 5 petang ini, jumlahnya mencecah sehingga 15 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mazlan, hasil maklumat yang diperoleh, kesemua mangsa dipercayai meminum dua jenis wiski dan satu jenis bir.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat sebagai mati mengejut (SDR) dan polis sedang menunggu laporan penuh bedah siasat terhadap mangsa.

"Laporan rasmi mengenai punca kematian masih belum diperoleh, namun begitu siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang dimasukan ke hospital adalah akibat minum minuman keras.

"Pemeriksaan juga sedang dijalankan di kedai-kedai yang berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
-- BERNAMA