Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, Riduwan Matni berkata, acara yang julung-julung kali dianjurkan itu melibatkan penyertaan 8,000 anggota tentera manakala bakinya orang awam.

Beliau berkata, sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan iaitu 21 kilometer (km), 10 km dan 5 km dan penyertaan masih dibuka kepada mereka yang berminat untuk menyertainya.

"Daripada tiga kategori utama itu terdapat tiga sub-kategori iaitu terbuka, veteran dan pakaian terbaik. Setiap kategori menawarkan hadiah untuk tempat pertama hingga kelima," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Riduwan berkata, pemenang tempat pertama akan membawa wang tunai RM7,000, kedua (RM5,000), ketiga (RM4,000), keempat (RM3,000) manakala kelima (RM2,000).

Ujarnya, acara yang diadakan dengan kerjasama ATM itu bertujuan meningkatkan penglibatan anggota tentera bersama masyarakat selain mempopularkan gaya hidup sihat melalui aktviti larian berkenaan.

Katanya, acara akan dimeriahkan dengan pameran pelbagai aset ATM bermula esok serta aktivti lain antaranya persembahan buskers, kawad senyap, demonstrasi tempur tanpa senjata dan tayangan filem ketenteraan. - UTUSAN ONLINE