KUALA TERENGGANU 23 Dis. - Seramai 1,427 pelajar Terengganu yang cemerlang di universiti, menerima Anugerah Sarjana Yayasan Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM5.4 juta sejak skim itu diperkenalkan bermula 1998 hingga sekarang.
Manakala untuk tahun ini, seramai 200 pelajar cemerlang menerima insentif tersebut yang membabitkan perbelanjaan berjumlah RM672,000.
Kesemua 200 penerima sarjana Yayasan Terengganu itu diraikan dalam Majlis Anugerah Sarjana Yayasan Terengganu di Duyong Marina Resort di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Yang turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang; Pengarah Yayasan Terengganu, Hishamudin Hashim dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.
Anugerah Sarjana Yayasan Terengganu mula diperkenalkan sejak 1998 sebagai insentif kepada anak jati Terengganu yang memperoleh keputusan cemerlang ketika menuntut di universiti masing-masing.
Malah ia dibahagikan kepada dua kategori iaitu anugerah ikhtisas (kursus profesional) dengan setiap pelajar menerima RM5,000 manakala bagi bukan ikhtisas mendapat RM3,000.