Presiden dan Ketua Eksekutif KPJ Healthcare University College (KPJUC) Prof. Datuk Lokman Saim berkata, kesemua graduan dirai dalam majlis penuh bermakna itu adalah pelajar dari KPJ International College of Nursing and Health Sciences (KPJIC) di Johor Bahru dan Pulau Pinang; Malaysian College of Hospitality and Management (MCHM) dan KPJUC.

Beliau berkata, kesemua graduan sesi 2017 itu menerima sijil, diploma dan ijazah dalam pelbagai bidang pendidikan kesihatan yang berpotensi besar dan signifikan menyumbang kepada tahap penjagaan kesihatan rakyat Malaysia.

“Sejak dimulakan pada 1994, KPJUC memperlihatkan perkembangan pesat dengan hanya 54 graduan pertama bagi Diploma Kejururawatan, namun meningkat drastik antara 800 hingga 1,000 graduan setiap tahun.

“Sehingga kini, KPJUC telah berjaya lahirkan 9,532 graduan meliputi tahap pengajian sarjana muda, diploma dan sijil. Ini memperlihatkan sumbangan besar KPJ Healthcare Berhad dalam industri penjagaan kesihatan negara selama ini,” katanya dalam perasmian Konvokesyen Ke-21 KPJUC, di Dewan Merdeka, PWTC di sini.

Yang turut hadir, Canselor KPJUC, Tan Sri Arshad Ayub; Pro Canselor, Tan Sri Siti Sadiah Sheikh Bakir serta Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Sementara itu, hasil kecemerlangan akademik sepanjang pengajian, tiga pelajar dipilih menerima pengiktirafan khas iaitu Anugerah Canselor, Asma Abdul Hadi; SS. Sugalia (Anugerah Dr. Siti Hasmah) dan Nur Wahidhah Abdul Kafoor menerima Anugerah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation. - UTUSAN ONLINE