LIM GUAN ENG

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Zeti telah memaklumkan kepada beliau me­ngenai rasa tidak puas hati terhadap dakwaan bekas Perdana Menteri itu dan menegaskan perkara berkenaan merupakan fitnah.

“Saya menyatakan kalau ini fitnah maka beliau harus mengambil tindakan yang sewajarnya, saya rasa dia (Zeti) pasti sedang membincangkan perkara ini de­ngan pihak peguamnya.

“Saya tidak mahu cakap lebih daripada itu, marilah kita ikut proses mengikut hak peribadi dari segi perundangan oleh Tan Sri Zeti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Ami­ruddin Hamzah; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T. Subromaniam.

Baru-baru ini dalam temubual bersama Malaysiakini, Najib mendakwa Zeti ketika menjadi Gabenor Bank Negara menyedari kewujudan dana RM2.6 bilion dalam akaunnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) namun tidak pernah mempersoalkan perkara itu.

Najib berkata, Bank Negara sepatutnya memberitahu beliau jika ada keraguan berhubung dana berkenaan.

Zeti Akhtar Aziz
Zeti Akhtar Aziz

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan sendiri oleh Zeti kepadanya dalam majlis berkenaan dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang baharu dilantik itu menyatakan rasa kesal.

Kata Guan Eng, kementeriannya tetap mempunyai keyakinan terhadap integriti dan kredibiliti Zeti.

Sementara itu, Zeti yang ditemui dalam majlis berasingan enggan mengulas lanjut dakwaan Najib kerana perkara tersebut telah menjadi kes yang sedang disiasat.

“Saya tidak mahu komen sekarang sebab lambat-laun kamu (pemberita) akan mendapat komen (mengenai isu tersebut). Kamu akan mengetahuinya nanti,” katanya.