Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Chik berkata, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed yang merupakan Pengurusi gabungan pembangkang PKR ketika ini pernah melaksanakan pilihan raya umum pada hari Isnin dan Khamis.

“Dalam lima pilihan raya, Mahathir pernah melaksanakan tiga daripada hari membuang undi itu selain dari Ahad dan Sabtu.

“Jadi bagi saya isu hari pengundian ini tidak perlu dijadikan sebagai polemik dan negara maju seperti Amerika Syarikat telah mempratikkan proses tersebut pada hari bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hari pengundian PRU Ke-14, hari Rabu, 9 Mei.

Terdahulu beliau yang merupakan Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani merasmikan Hari Terbuka Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Chetok di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah LPP, Hamzah Bahari.

Ahmad Shabery memberitahu, menifesto Barisan Nasional (BN) pada PRU Ke-14 memberikan penekanan tinggi terhadap isu pertanian.

Katanya, selain itu pembelaan terhadap golongan petani turut diberikan keutamaan oleh kerajaan. - UTUSAN ONLINE