Beliau mempertahankan dakwaannya itu dengan alasan tiada dalam kalangan ahli profesional terkemuka dunia yang terhasil menerusi pendidikan yang menggunakan bahasa Arab sebagai pengantara.

Menurutnya, bahasa Arab tidak digunakan dalam ilmu sains, tekonologi dan ekonomi yang mempunyai nilai untuk menyumbang kepada kemajuan serta pemodenan dan masalah itu berpunca daripada sikap para ulama Arab sendiri yang menyekat kemajuan berfikir dan intelektual bangsa tersebut.

“Mereka (bangsa Arab) terpaksa melarikan diri untuk mencari kebebasan membaca, berfikir dan bersuara di negara-negara Barat, kerana tertekan dalam negara sendiri oleh hukuman, cacian, ancaman ulama feudal yang bersifat seperti raja.

“Pusat pendidikan di negara rantau Arab tidak menjadi tumpuan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional. Sebaliknya ramai pelajar-pelajar Arab yang menuntut di pusat pengajian tinggi di Malaysia,” katanya dalam catatan di blog beliau, zamkata.blogspot.com, semalam.

Minggu lalu, Zainuddin berkata, bahasa Arab tidak lagi mempunyai nilai sebagai bahasa ilmu kecuali dalam bidang agama, ketika cuba mempertahankan cadangan beliau supaya sekolah tahfiz ditutup selepas dikritik beberapa pihak. - UTUSAN ONLINE