Jelas Zakaria, perjalanan kempennya kini lancar dan daripada 30,000 pengundi yang disasarkan, hampir 60 peratus daripadanya telah beliau temui.

"Kami mahu bertemu tidak kurang 30,000 pengundi di Semenyih, berjumpa dan bersalam terutamanya di pasar-pasar malam yang banyak di Semenyih serta tempat tumpuan penduduk seperti di pasar raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi penduduk-penduduk yang menderita sakit di Bandar Rinching di sini hari ini.

Sementara itu, Zakaria berkata, walaupun sedikit penat dalam melalui jadual padat kempen, beliau menganggapnya sebagai lumrah demi menambat hati penduduk.

"Penat tu biasalah, jadual memang padat sampai tengah malam, itu yang rasmi, yang tidak rasmi kadangkala sehingga ke pukul 2 pagi dan perlu keluar semula sebelum waktu subuh.

"Namun ini bukannya masalah, apa yang penting adalah jentera kempen, mereka lagi bekerja kuat. Saya hanya bawa diri sahaja mengikut setiap program yang telah diatur," katanya. - UTUSAN ONLINE