Zainol Fadzi yang menyertai PPBM semalam berkata, ini kerana tindakannya bersama seorang lagi bekas exco, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi menyokong Pakatan Harapan Perak untuk membentuk kerajaan negeri dibuat tanpa meletakkan sebarang syarat.

Zainol Fadzi yang merupakan bekas exco kerajaan negeri berkata, beliau menyerahkan segala keputusan berkenaan siapa sahaja yang mahu dilantik sebagai exco kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

"Saya serahkan kepada Menteri Besar untuk lantik siapa pun. Saya tidak terkilan kalau tak dilantik sebab saya tidak pernah meletakkan ini sebagai syarat.

"Saya tak suka bila saya setuju kemudian nak bagi tekanan pada Menteri Besar sebab saya memberi sokongan itu tanpa syarat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di majlis jamuan rakyat Pakatan Harapan di Bilik Gerakan Pakatan Harapan DUN Sungai Manik di Langkap dekat sini hari ini.

Zainol Fadzi mengulas mengenai pengumuman PKR Perak hari ini melalui Ketua Penerangannya, Senator Siti Aishah Shaik Ismail bahawa beliau dimaklumkan menteri besar hanya mempertimbang satu jawatan sahaja untuk diisi sama ada oleh Zainol Fadzi atau Nolee Ashilin yang akan dibincangkan dalam Majlis Pengerusi Pakatan Harapan Perak. -UTUSAN ONLINE