Beliau berkata, perkara itu itu tidak benar dan beliau tidak mengetahui bagaimana ia boleh dibangkitkan sedangkan telah menyatakan sokongan terhadap Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar.

“Saya mendapat banyak panggilan daripada rakan-rakan yang cemas dan menggambarkan saya akan dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu sedangkan dakwaan itu mengarut dan merupakan cerita rekaan.

“Secara peribadi, saya tidak ada tekanan kerana tiada kaitan dengan apa-apa yang ditularkan termasuk terbaharu kononnya saya sudah menghadap Sultan Perak. Ini semua adalah tidak benar dan tidak tahu bagaimana ia timbul,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Zainol Fadzi yang juga Penasihat kepada Menteri Besar berkata, dakwaan yang beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi akan menyertai semula Barisan Nasional (BN) juga tidak benar.

Katanya, tiada mana-mana pemimpin daripada BN khususnya UMNO yang menghubungi dan berjumpa mereka untuk berbincang dan memujuk bagi menyertai semula parti itu.

“Memang ada berhubung (dengan wakil rakyat pembangkang) tetapi tidak pernah menjurus ke arah itu (kembali kepada BN). Semua berkaitan dengan masalah rakyat, masalah di tempat masing-masing untuk dibantu seperti kes-kes tanah, infrastruktur dan pihak berkuasa tempatan.

“Semalam pun saya ada Whatsapp Nolee dan tanya sama ada, ada sesiapa jumpa beliau dan beliau sendiri terkejut dan beritahu tiada. Malah beliau sendiri beritahu mana boleh (pemimpin BN) mengarahkan kami kerana kami pun ada pendirian,” katanya. - UTUSAN ONLINE