ZAINOL FADZI PAHARUDDIN
ZAINOL FADZI PAHARUDDIN

Zainol Fadzi yang merupakan bekas exco kerajaan negeri berkata, keputusan beliau menyokong Pakatan Harapan Perak dibuat demi kepentingan rakyat di kawasannya ekoran perubahan kerajaan Pusat.

Menurutnya, demi memastikan rakyat di kawasannya terus terbela, beliau berpendapat kerajaan negeri harus selari dengan kerajaan Pusat.

“Keputusan saya menyokong Pakatan Harapan bukan sebab mahukan jawatan atau kepentingan peribadi yang lain, malah saya tidak meminta apa-apa syarat apabila menyokong Pakatan Harapan.

“Saya hanya memikirkan keadaan rakyat di kawasan saya jika kerajaan negeri berbeza pentadbirannya dengan kerajaan Pusat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Zainol Fadzi, keputusannya itu juga disebabkan sikap tidak konsisten Pas Perak dalam memberi kata putus berhubung sokongan parti itu terhadap BN bagi membentuk kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak mahu kerajaan negeri terus tergantung tanpa ada parti yang mendapat kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Jelasnya, beliau dan Nolee Ashilin telah menandatangani deklarasi menyokong Pakatan Harapan yang kemudiannya dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.

“Dalam deklarasi itu kami menyatakan sokongan kepada Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi Pakatan Harapan Perak) sebagai Menteri Besar Perak, bukan melompat parti,” katanya.

Menurutnya, beliau kini mahu menjelaskan kepada rakyat yang memilihnya di Sungai Manik mengenai keputusannya menyokong Pakatan Harapan.

“Saya mahu jelaskan keputusan saya ini demi kepentingan rakyat yang memilih saya dalam PRU-14,” katanya.

Keputusan Zainol Fadzi dan Nolee Ashilin menyokong Pakatan Harapan membolehkan parti itu mendapat majoriti 31 kerusi dan membentuk kerajaan negeri hari ini. - UTUSAN ONLINE