Salleh Said Keruak

Menterinya, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, jika siasatan mendapati wujudnya pelanggaran undang-undang, pasti ahli DAP itu tidak akan terlepas daripa­da pendakwaan­ aki­bat kenyataan­nya di Twitter pada 4 Disem­ber lalu.

Kata beliau, malah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang be­kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengendalikan siasatan ke atas Zaid.

“Sudah tentu jika undang-undang telah dilanggari, tindakan akan diambil sewajarnya,” kata beliau kepada pemberita selepas bertemu Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di sini hari ini.

Sebelum ini, Zaid menerusi akaun Twitter miliknya mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin yang antara lain menegur Dr. Mahathir berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri itu menghina kaum Bugis.

Menerusi kenyataan di media sosial itu, Zaid memberitahu Sultan Sharafuddin harus lebih berhati-hati dengan kata-kata baginda kerana tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar.

Sementara itu, mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2017, Salleh yang juga Bendahari parti berkata, beliau gembira dengan kualiti perbahasan kali ini dan berharap perwakilan mengguna pakai segala maklumat yang diperoleh untuk memperjelaskan kepada masyarakat fakta sebenar khususnya menggunakan media sosial masing-masing.

Berhubung kelulusan usul tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Pre­siden tahun depan, beliau berkata, keputusan itu bukan bertujuan untuk menyelamatkan sesiapa tetapi adalah bagi mengukuhkan kedudukan parti demi kestabilan politik dan urus tadbir negara.

“Keputusan ini menentukan kestabilan parti. Apabila parti stabil dari segi kepimpinannya, ini akan menentukan kestabilan politik dan negara.

“Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin yang berwawasan dan beliau mahu membawa Malaysia menjadi lebih gemilang dan beliau memerlukan seorang timbalan dan sahabat yang setia dan boleh membantu beliau mentadbir Malaysia,” katanya.