MOHD. FARED ABDUL GHANI
MOHD. FARED

Pengerusi Biro Aduan Masyarakat Malaysia (Pertama), Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, Zaid tidak sepatutnya bertindak demikian kerana perbuatan tersebut boleh disifatkan sebagai penderhakaan terhadap institusi diraja yang sepatutnya dihormati semua pihak.

Malah katanya, sebagai anak jati Kelantan yang juga seorang bekas menteri, Zaid secara tidak langsung telah memalukan nama negeri ini.

"Zaid sebelum ini sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya. Saya harap beliau (Zaid) dikenakan tindakan supaya memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi perbuatan memalukan itu pada masa akan datang," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Sebelum ini, Zaid menerusi akaun Twitter beliau mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin yang antara lainnya menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung kenyataan menghina Bugis.

Menerusi kenyataan di media sosial itu, Zaid memberitahu Sultan Sharafuddin harus lebih berhati-hati dengan kata-kata baginda kerana tiada siapa yang kebal apabila negara terbakar.

Tindakan itu telah mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin yang turut menyifatkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai seorang yang cukup biadab.

Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin juga mengingatkan Zaid agar pulang sahaja ke Kelantan, jika tidak bersetuju dengan teguran baginda dalam isu Dr. Mahathir sehingga sanggup membuat kenyataan yang bersifat biadab seperti itu. - UTUSAN ONLINE