Beliau akan patuh hanya kepada peraturan dan Perlembagaan UMNO bagi mendapatkan dua pertiga majoriti perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas untuk menentukan dirinya kekal atau mengundurkan diri.

Ahmad Zahid juga akur dengan permintaan ahli-ahli akar-umbi yang mahu UMNO terus dimantapkan dan mendokong UMNO semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya tidak akan tunduk kepada desakan segelintir orang yang mahu saya mengundurkan diri. Saya akan patuh kepada hanya Peraturan dan Perlembagaan UMNO yang menentukan, jika dua pertiga perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas menentukan untuk saya mengundurkan diri.

“Saya yakin masih ramai yang mahu terus bersama UMNO biarpun UMNO sebagai parti pembangkang. Malah, sokongan kian bertambah agar UMNO semakin perkasa,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan daripada beberapa pihak yang berasa tidak senang dan mahukan dirinya berundur daripada jawatan yang disandang dalam parti.

Malah, mereka menganggap Ahmad Zahid adalah individu yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap situasi ramai pemimpin UMNO bertindak keluar parti.

Tambah Ahmad Zahid, UMNO juga akan bekerjasama dengan Pas untuk terus menterjemahkan agenda Islam dan Melayu serta menghormati kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.

Katanya, UMNO menolak kerjasama dengan DAP dan tidak akan berkompromi dengan agenda yang meminggirkan Islam dan Melayu dilakukan secara halus atau terang-terangan.

“Ahli-ahli UMNO di semua peringkat hendaklah merapatkan saf dan mengenepikan sebarang perbezaan pendapat dan pendirian demi penyatuan UMNO untuk melunaskan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE