Mohd. Isa

Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, pelantikan itu harus dilihat dalam kerangka yang lebih besar daripada semata-mata satu tindakan politik yang sempit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, generasi pemimpin sebaya seperti Ahmad Zahid mewakili pemimpin pelapis yang akan mewarisi tampok pemerintahan negara pada masa depan.

“Jadi, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat rombakan Kabinet dengan melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, ia menunjukkan bahawa generasi pemimpin baharu sedang disediakan untuk menerajui negara pada masa depan.

“Sebab itu, semua pihak terutamanya ahli-ahli UMNO, jangan terlalu teruja untuk ambil tahu kenapa Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Kita yang di bawah jangan lebih sudu daripada kuah. Kita laksanakan gerak kerja memperkukuhkan parti dan fokus untuk hadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2015 UMNO Bahagian Telok Kemang di sini semalam.

Yang turut hadir, isteri Mohd. Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid; Ketua Wanita UMNO Bahagian, Safiah Sidek; Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Mohd. Najib Mohd. Isa dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Rozana Abu Sarim.

Majlis berkenaan dihadiri lebih 1,100 ahli UMNO dari semua cawangan UMNO Bahagian Telok Kemang termasuk ketua dan wakil parti komponen Barisan Nasional (BN).

Dalam majlis itu, UMNO bahagian berkenaan turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 100 anak yatim di sekitar Port Dickson.

Mohd. Isa menarik perhatian, pergolakan yang berlaku dalam UMNO tidak sepatutnya menjadikan parti itu lemah dan berpecah belah.

Ini kerana, katanya, UMNO telah melalui beberapa siri pergolakan dan cabaran sejak ditubuhkan pada 1946 tetapi dapat melalui semua pengalaman itu dan masih berdiri kukuh sehingga hari ini.

“Pengalaman saya sendiri sejak menceburi politik pada 1972 telah melihat beberapa peristiwa yang mewujudkan pergolakan dalam parti,” katanya.