Menurut Timbalan Perdana Menteri, tindakan tersebut dilakukan mengikut prinsip perundangan di negara ini yang hanya mengiktiraf satu kewarganegaraan untuk rakyat Malaysia.

“Jika mana-mana rakyat yang ada dua taraf, maka ia gugur secara automatik, apatah lagi rakyat Malaysia itu pernah mohon jadi warga negara lain, maka tindakan perundangan sebagai ADUN Sarawak akan terbatal secara sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pecah Tanah Kemudahan Awam Ibrahim International Business District (IIBD) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

DUN Sarawak baru-baru ini melucutkan kelayakan ADUN Pujut itu selepas usul dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang negeri, Datuk Woon Soon Koh berikutan Tiong Choon mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan 70 ahli DUN manakala 10 yang lain membantah.