Beliau juga melafazkan ikrar taat setia untuk menyokong kepimpinan parti Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk terus memperjuangkan UMNO.

“Saya sentiasa bersama UMNO dan akan terus kekal dengan UMNO.

“Saya akan sentiasa bersama kepemimpinan parti (Najib), pengerusi perhubungan negeri (Musa) dan rakan-rakan lain untuk memenangi pilihan raya akan datang,” katanya pada satu sidang akhbar khas di sini hari ini mengenai pembebasannya daripada tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Mohd Yusof mengadakan sidang akhbar itu di sebuah pusat perubatan swasta di sini di mana beliau dimasukkan ke wad sejak semalam bagi rawatan masalah buasir yang dialaminya.

Beliau turut berterima kasih kepada penyokongnya dan menasihatkan agar tidak terpengaruh dengan dakyah politik mana-mana pihak mengenai penahanannya itu.

Mohd Yusof turut menghargai tanggungjawab yang dijalankan SPRM untuk menyiasat dan mencari penjelasan kepada kes itu yang melibatkan dana untuk pembangunan rakyat di luar bandar.

Sambil menyatakan keengganannya untuk mendedahkan siasatan SPRM terhadapnya, beliau berkata suruhanjaya itu te­lah menjalankan tanggungjawab mereka dengan profesional. – BERNAMA