Menurut Najib yang juga bekas Perdana Menteri, beliau terlupa untuk menjelaskan mengenai syarat itu dalam status yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, sebelum ini.

"Lupa sebut tadi. Saya ada satu syarat untuk debat Kit Siang dengan saya.

"YB Jelutong tidak boleh dilantik sebagai moderator debat," katanya.

Jelas Najib, beliau menerima tajuk debat yang diusulkan Penasihat DAP itu iaitu 'Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti'.

"Saya terima tajuk disarankannya tetapi seadilnya dan semoleknya kita perlu bincangkan topik-topik lain semasa debat ini," katanya.

Tambah Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, beliau mencadangkan supaya program debat itu diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disiarkan secara langsung.

"Saya cadang debat ini diadakan selepas hari raya dan ia seharusnya disiarkan secara `live' agar rakyat tahu," katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang menerusi status dalam akaun Twitter miliknya berkata, dua pegawainya akan berhubung dengan pegawai bekas Presiden UMNO itu bagi memuktamadkan perincian mengenai program tersebut.

"Shahredzan dan Ahmad Faiz telah dilantik untuk berhubung dengan pegawai Najib bagi memuktamadkan perincian mengenai perdebatan dengan Najib, selepas hari raya," kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu. - UTUSAN ONLINE