Pemilihan Yahaya menggantikan Datuk Mohd Zubir Embong dicadangkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan & Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka.

Yahaya, 60, yang berasal dari Kampung Gelugor Kedai dekat sini dan berkelulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah menjadi anggota Exco kerajaan negeri selama sepenggal bermula tahun 1999 hingga 2004.

Selain pelantikan itu, kesemua 32 ADUN termasuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melafazkan angkat sumpah sebagai anggota Dewan dalam majlis yang bermula kira-kira pukul 9.40 pagi.

Selepas pelantikan, Dr. Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berserta 21 lagi ADUN Pas, turut

mengangkat sumpah bersama kesemua 10 ADUN Barisan Nasional (BN) termasuk dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir akan bertindak sebagai ketua pembangkang untuk tempoh sepenggal ini setelah Barisan Nasional negeri yang diterajuinya tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Perasmian mesyuarat penggal pertama persidangan akan disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin esok, dan disusuli dua hari sesi persidangan pada Selasa dan Rabu ini.-UTUSAN ONLINE