Wakil Mahasiswa Nasional, Mohamad Reezal Abd. Patah ber­kata, pemilik rumah sewa yang berdaftar dengan skim itu boleh diberi insentif pelepasan cukai dan bantuan one-off agar sewa yang dikenakan mampu dibayar oleh golongan mahasiswa.

Beliau berkata, objektif utama cadangan tersebut bukan untuk keselesaan mahasiswa, tetapi isu keselamatan yang perlu dititik beratkan supaya tragedi seperti kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 21 nyawa pelajar dan dua tenaga pengajarnya tidak berlaku kepada mahasiswa.

“Saya ingin menarik perhatian kerajaan mengenai nasib rakan-rakan mahasiswa terutama di universiti swasta yang terpaksa menyewa di luar kampus. Disebabkan sewa rumah yang melambung tinggi, mahasiswa terpaksa berkongsi lebih 10 hingga 15 orang dalam satu rumah bagi memastikan harga sewa yang tinggi sekitar RM1,000 sehingga RM1,500 sebulan mampu dibayar terutama di bandar besar.

“Oleh itu, Mahasiswa Nasional mencadangkan diwujudkan Skim Bantuan Rumah Sewa Siswa 1Malaysia yang mana pemilik rumah sewa berdaftar dengan skim ini boleh menikmati insentif pelepasan cukai dan sewa rumah boleh dikawal serta kemudahan rumah dapat ditambah baik menerusi bantuan one-off daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Mohamad Reezal yang juga mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga menyeru kerajaan supaya mengkaji semula skim gaji pensyarah dan pentadbir universiti kerana golongan tersebut berperanan besar dalam mendidik mahasiswa di peringkat pendidikan tinggi.

“Laluan kerjaya, beban tugas dan kebajikan mereka juga perlu ditambah baik dan diberi perhatian sebagaimana kerajaan memberi tumpuan kepada sektor perguruan agar jasa dan budi baik mereka dihargai dan dipandang tinggi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mata pelajaran Kedaulatan Institusi Raja diperkenalkan dalam kurikulum di peringkat sekolah dan universiti agar episod rakyat menderhaka kepada raja tidak lagi berlaku.