Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, gelombang yang mem­bina dan positif tersebut perlu disedari dan dirasai oleh semua lapisan rakyat.

“Untuk menang pilihan raya bukan kerana politik dan kuasa semata-mata, tetapi turut melihat kepada kepentingan ekonomi kita, Islam serta kesatuan orang Melayu dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Cukup-cukuplah kita mengamalkan politik kebencian, perpecahan, menuding jari ke arah orang lain dan melaga-lagakan pemimpin. UMNO mesti tunjukkan gelombang yang positif ini dan saya harap ia dapat meya­kinkan mereka yang sebelum ini tidak mendekati kita,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas meras­mikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau yang dihadiri 907 perwakilan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Naib Ketua UMNO bahagian, Datuk Dr. Awaludin Said.

Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, UMNO perlu berusaha mendekati kira-kira 600,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berpotensi menjadi pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau menjelaskan, sehingga kini hasil usaha yang dilakukan oleh parti itu telah berjaya menjejaki kira-kira 400,000 alumni program berkenaan dengan separuh daripadanya sudah mengundi pada PRU-13.

“(Usaha) ini penting sebab sudah 10 tahun kita mengadakan PLKN yang berteraskan patrio­tisme dan nilai-nilai pembinaan negara bangsa.

“Mereka ini akan mengundi dan sebab itu kita perlu menjejaki dan mendekati mereka dan memberitahu bahawa ini bukan politik kosong. Ini juga boleh menjadi platform bagi kita melahirkan pemimpin berbilang kaum dan agama pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, selain PLKN, terdapat tiga lagi sasaran yang perlu didekati parti itu di bawah kementerian tersebut melibatkan anggota tentera, wataniah dan veteran tentera.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas berkata, situasi UMNO pada hari ini jauh lebih baik berbanding setahun lalu apabila digambarkan menghadapi pelbagai masalah.

“UMNO pada tahun ini berada di atas landasan cukup baik, kukuh dan utuh. Ini diterjemahkan hasil semangat kekeluargaan yang luar biasa selepas menghadapi ujian dan dugaan sejak setahun lalu,” tegasnya.