Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, hal ini seolah-olah penjawat awam yang berwibawa dan sudah lama berkhidmat tidak lagi dipedulikan kerajaan.

Katanya, lantikan politik juga terdiri daripada sahabat-sahabat dalam parti politik termasuk ahli keluarga yang diberi peluang pekerjaan baharu.

“Ada yang sudah bergelar Yang Berhormat, tetapi, masih mahu mengemudi agensi-agensi kerajaan sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah. Kurangkan lantikan politik, biar penjawat awam berwibawa yang melaksanakan tugas mereka.

“Adakah sebenarnya peluang pekerjaan yang disebut dalam manifesto PH itu ditujukan kepada sahabat-sahabat dan ahli keluarga mereka dalam parti masing-masing?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam bahawa rakyat dan penjawat-penjawat awam digesa ‘ikat perut’ buat sementara waktu iaitu dalam tempoh kerajaan berusaha untuk menyelesaikan hutang negara yang melebihi RM1 trilion.

Tambah Shahir, kerajaan PH juga tidak sensitif mengumumkan projek-projek yang tidak mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat seperti kereta terbang dan pada masa yang sama meminta rakyat mengikat perut.

Beliau malah memberitahu, gaji para menteri juga begitu tinggi berbanding penjawat-penjawat awam yang lain sekiranya ingin dibandingkan.

“Pada saat gesaan ikat perut, kita lihat gaji ahli Parlimen dan menteri begitu banyak, puluhan ribu jika dibandingkan dengan penjawat-penjawat awam majoriti yang lain. Di manakah keadilan rakyat dan penjawat awam?,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE