Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perbincangan berkenaan bukan sahaja untuk meneliti prestasi syor-syor diterima Malaysia tetapi juga mempertimbangkan enam triti yang belum ditandatangani negara.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk mewujudkan kayu pengukur terhadap kriteria-kriteria ditetapkan serta mengadakan laporan secara tahunan.

“Kita akan berbincang dengan lebih banyak NGO berhubung perkara ini.

“Kita sepatutnya berbincang bukan sahaja di atas platform yang kita persetujui tetapi juga berbincang isu-isu tidak dipersetujui untuk mencari penyelesaian,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Putra di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan bersama NGO-NGO yang mewakili Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) antaranya Sister In Islam (SIS), Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) dan Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) selain Majlis Peguam. - UTUSAN ONLINE