WILLIAM MAWAN
WILLIAM MAWAN

William Mawan dalam satu kenyataan memberitahu, beliau boleh bertanding mewakili PBB kerana merupakan ahli parti utama Barisan Nasional (BN) di Sarawak sejak 2016.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak agar menghentikan spekulasi mengenai dirinya yang tidak dicalonkan bagi mempertahankan semula kerusi Parlimen itu, ekoran keputusan Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memutuskan untuk tidak meletakkan calon langsung atau mesra BN untuk mewakili parti pada PRU-14.

"Ini (pengumuman) adalah masa yang sesuai untuk mendedahkan perkara dan fakta yang sebenar.

"Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menjadi ahli PBB sejak 2016. Nombor siri keahlian parti saya ialah 470000," katanya dalam kenyataan tersebut, di sini hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan Ketua Menteri pada Januari lalu telah mengumumkan beliau akan mendedahkan status keahlian parti komponen BN bagi PRU-14 apabila tiba masa yang sesuai.

Sebelum ini, kedudukan William Mawan mencetuskan kontroversi kerana beliau merupakan Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) iaitu serpihan parti komponen BN, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Beliau yang juga bekas Presiden SPDP telah meninggalkan parti itu lalu menubuhkan TERAS iaitu parti mesra BN yang mana turut bertanding sebagai calon langsung BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak yang lalu.

Mengulas lanjut, William Mawan berkata, penyertaan dalam PBB adalah disebabkan status beberapa calon mesra BN.

Katanya, beliau terpaksa membuat pengumuman hari ini, memandangkan keadaan politik semasa di Saratok.

"Saya mahu mengulangi bahawa saya sentiasa menjadi ahli BN yang benar-benar setia kepada pucuk kepimpinan parti," ujarnya. - UTUSAN ONLINE