Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas berpendirian Waytha Moorthy sememangnya tidak layak untuk memegang portfolio itu dari awal kerana cara pemikiran dan agendanya yang diketahui umum.

“Pas bukan sekadar nak suruh dia letak jawatan tapi jangan lantik dah (kerana beliau) memang seorang yang kita tahu pemikiran dia, cara dia dan apa agendanya. Tak sepatutnya Perdana Menteri lantik dia sebagai menteri.

“Jadi kalau (sudah) peringkat itu, kita menyesal sebab pelantikan itu yang bukan sahaja dia tapi ramai lagi (beberapa jawatan penting) yang kita nampak mereka akan kucar-kacirkan suasana perpaduan masyarakat yang sedang hidup dalam aman damai,” katanya selepas menziarahi keluarga pegawai bomba, Allahyaram Muhammad Adib Mohd. Kassim di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini hari ini.

Tegas Hashim, nilai perpaduan itu perlu dipelihara dan masyarakat tidak perlu bimbang kerana orang Islam tidak akan mengganggu agama lain selagi kesucian agama Islam tidak dikacau.

“Misalnya, (dalam isu) putus hubungan antara Pas dan DAP sebelum ini, kita tak campur urusan ibadat atau akidah mereka, tapi mereka campur urusan kita jadi kita tak boleh (terus) berkawan,” katanya.

Dalam pada itu, Hashim turut menggesa kes membabitkan Allahyarham Muhammad Adib diselesaikan segera selaras dengan konsep wajibul waqtiy atau kewajipan semasa yang perlu diutamakan.

“Kita bukan bererti mendesak perkara itu kerana perasaan taksub atau pun berdasarkan kepada unsur perkauman dan bangsa, tapi yang jelas sekarang ia dilakukan satu pihak kepada Allahyarham dan kepada jabatan kerajaan itu sendiri.

“Jadi, perkara ini kena ‘potong line’ selesaikan, ada benda lain yang boleh dikemudiankan kerana di situ kena faham fiqh al-awlawiyyat iaitu mana yang patut didahulukan,” katanya.

Beliau pada masa sama meminta seluruh umat Islam mendoakan agar Muhammad Adib mendapat husnul khatimah kerana Alahyarham meninggal dunia ketika menjalankan tugas untuk kebaikan orang lain. - UTUSAN ONLINE