Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, tindakan Maria itu mencerminkan bahawa Bersih 2.0 merupakan platform untuk kepentingan Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan jelas bercanggah dengan kenyataan bahawa NGO tersebut adalah sebuah badan bebas.

Katanya, perkara berkenaan sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pemimpin-pemimpin Bersih sebelum ini termasuk Datuk A. Samad Said dan Datuk S. Ambiga yang mengisytihar secara terbuka untuk menjatuhkan Barisan Nasional dalam pilihan raya.

“Bersih 2.0 sememangnya memihak kepada pembangkang, cuma sejauh mana Maria mampu membantu Pakatan Harapan masih samar kerana beliau jelas tidak mempunyai kredibiliti atau rekod bertanding dalam pilihan raya.

“Keputusan Maria itu juga seolah-olah mengiktiraf bahawa sistem pilihan raya di negara ini jelas tidak kotor dan adil berbanding seperti yang didakwanya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Laporan portal propembangkang, Malaysiakini hari ini mengesahkan Maria menawarkan diri untuk menjadi calon bebas Pakatan Harapan dalam PRU-14 dan akan membuat pengumuman mengenai hasratnya itu dalam sidang akhbar yang dijangka diadakan esok.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, tindakan Maria itu merupakan cubaan bagi menarik semula sokongan kaum Melayu terhadap NGO berkenaan.

“Selepas Maria meninggalkan Bersih 2.0, mereka mungkin akan melantik Timbalan Pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Saari sebagai Pengerusi dalam usaha menarik semula sokongan kaum Melayu setelah gagal disebabkan penarikan diri Pas dalam blok pembangkang.

“Namun saya merasakan orang Melayu tidak akan menyokong Bersih lagi kerana matlamat mereka sudah jelas bertentangan dengan tujuan asal penubuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, Maria sepatutnya kekal bersama NGO itu sahaja sekiranya benar-benar mahu membawa suara masyarakat yang menginginkan pilihan raya yang telus dan adil.

Katanya, penglibatan Maria bersama Pakatan Harapan yang diketuai DAP juga dilihat menyusahkan pakatan berkenaan disebabkan sikap seorang aktivis yang hanya mahu menegakkan pendapatnya sendiri.

“Kita sememangnya menghormati hak beliau sebagai rakyat dalam negara demokrasi untuk bertanding dalam PRU-14, namun dari segi prinsipnya jelas bercanggah dengan apa yang pernah dikatakannya bahawa Bersih 2.0 merupakan NGO bebas yang tidak memihak mana-mana pihak,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE