Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, parti itu akan membantu Warisan dan menguatkan gabungan berkenaan di Sabah.

Dalam masa sama katanya, sambutan rakyat terhadap Bersatu di Sabah juga dilihat baik dengan sebelum ini permohonan untuk menyertai parti itu melebihi 50,000 orang.

“Semalam Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan yang kita membantu Warisan mengukuhkan kedudukan di Sabah, bukan hendak gaduh apa. Tidak ada masalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat pimpinan Bersatu Perlis di sini, hari ini.

Semalam tujuh orang wakil rakyat dan dua orang senator di Sabah menyertai Bersatu sekali gus menandakan kehadiran parti itu ke negeri Di Bawah Bayu tersebut.

Sementara itu, Marzuki diumumkan sebagai Pengerusi Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) negeri ini buat sementara waktu sehingga Oktober depan bagi menggantikan Amier Hassan yang direhatkan daripada memegang apa-apa jawatan termasuk di peringkat bahagian.

Selain Amier, turut direhatkan daripada menyandang sebarang jawatan dalam parti di peringkat negeri ialah Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan.

Mengulas perkara itu, Marzuki memberitahu, kedua-dua pemimpin tersebut bagaimanapun masih boleh kekal aktif dalam aktiviti parti dengan jawatan sebagai Ketua Cawangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing turut dikekalkan.

“Ketua Bersatu Bahagian Arau kini dipangku oleh timbalan Amier sebelum ini iaitu Maton Din namun kerja penyelarasan parti di peringkat bahagian akan diketuai oleh saya sendiri.

“Manakala jawatan Setiausaha Bersatu dan Setiausaha PH negeri dipegang oleh Abu Bakar Hamzah menggantikan Wan Saiful,” katanya.- UTUSAN ONLINE