ABDUL JALIL ABDUL GANI
ABDUL JALIL ABDUL GANI

Penganalisis bebas, Abdul Jalil Abdul Gani berkata, Warisan tidak perlu lagi mempertikaikan majoriti kecil yang diperolehi Anifah kerana walaupun menang dengan tipis ia tetap dikira menang.

“Bukan Anifah seorang sahaja yang pernah menang tipis bahkan ramai lagi calon yang berlainan pendapat serta parti dengan beliau, pun pernah menang dengan majoriti tipis.

“Ini tidak bermakna bahawa mereka menipu untuk menang. Kemenangan tipis berkemungkinan menggambarkan konflik rakyat samada mengundi berdasarkan parti sahaja ataupun berdasarkan calon,” kata Abdul Jalil dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Abdul Jalil mengulas tindakan Warisan yang mempersoalkan kemenangan tipis Anifah pada PRU-14 yang memperoleh majoriti 156 undi menewaskan calon Warisan, Karim Bujang. Bekas menteri luar itu memperoleh 11,942 undi manakala Karim memperoleh 11,786 undi.

Laporan polis turut dibuat oleh Warisan yang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan penipuan sehingga menyebabkan Karim tewas tipis.

“Banyak pihak harus terbuka hati menerima kemenangan Dato’ Sri Anifah dan sekarang adalah masanya untuk bekerja dan bukannya terus memomokkan rakyat dengan isu menang besar atau menang tipis.

“Apa guna menang besar jika usaha untuk membangunkan negeri dan memperjuangkan nasib rakyat Sabah sebesar hama? “ soal Abdul Jalil. - UTUSAN ONLINE