Kutipan sumbangan itu bagi membantu bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyediakan wang ikat jamin yang perlu dibayar esok.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, termasuk dalam sumbangan tersebut adalah sejumlah RM3,000 yang diperoleh daripada Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang yang telah rela melelong gelang emas miliknya dan kemudiannya telah dibeli oleh seorang individu.

“Terdapat juga tawaran-tawaran lain dari ahli-ahli Wanita UMNO untuk melakukan perkara sama demi mendapatkan lebih kutipan dalam menyumbang kepada usaha ini.

“Ini bukan kali pertama Wanita UMNO berkorban harta peribadi untuk membantu pemimpin parti. Semangat Allahyarhamah Datuk Siti Rahmah Kassim yang menyerahkan gelang emasnya untuk membiayai perjalanan Almarhum Tunku Abdul Rahman ke London pada tahun 1957 untuk menuntut kemerdekaan negara terus membara dalam jiwa setiap ahli Wanita UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najib dijadual membayar sebahagian lagi wang ikat jaminya berjumlah RM500,000 esok. Rabu lalu, Najib telah membayar ansuran pertama berjumlah RM500,000 selepas meminta untuk dibicarakan mahkamah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Pendakwaan terhadap Najib berkaitan dengan kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. - UTUSAN ONLINE