Ketua Wanita UMNO Bahagian Kapar, Norlaila Aslah berkata, pihaknya bertindak demikian berikutan kenyataan Waytha Moorthy jelas menafikan sumbangan Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) sejak negara ini merdeka, 61 tahun lalu.

“Waytha Moorthy sebagai menteri sepatutnya memohon maaf atas kenyataan beliau yang dikatakan dibuat 10 tahun lalu. Kenyataan beliau jelas memburukkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan di bawah BN.

“Saya bersama ahli-ahli Wanita UMNO Bahagian Kapar sungguh kecewa kerana kenyataan tersebut jelas bercanggah dengan perkara sebenar yang berlaku di Malaysia. Kita hidup dalam suasana harmoni dan setiap kaum dibantu mengikut keperluan mereka,” katanya selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Sungai Kapar Indah, di sini semalam.

Yang hadir sama ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kapar, Khairi Husin.

Norlaila berkata, sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengkaji kedudukan Waytha Moorthy dalam Kabinet memandangkan majoriti rakyat terguris dengan kenyataan berkenaan.

“Sebagai seorang menteri berkaitan perpaduan, beliau sepatutnya memperkukuhkan ikatan semua bangsa tetapi dengan sikap berdolak-dalik, beliau tidak layak kekal di bawah portfolio tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE