Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata, krisis membabitkan pemimpin-pemimpin meninggalkan UMNO pada dua tahun lalu perlu menjadi iktibar kepada semua ahli.

"Ekoran pemimpin tersebut berasal dari Johor, menyebabkan timbulnya situasi dalam kalangan ahli sama ada perlu memilih rakan atau parti, namun kita meletakkan kepentingan parti.

“Saya lihat mesyuarat perwakilan kali ini lebih tenang dan tidak berlakunya kekeliruan sebagaimana dua tahun lalu,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kepong di sini malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Sharizat Abd. Jalil yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong dan Ketua UMNO Bahagian Kepong, Datuk Seri Rizuan Hamid.

Hishammudin berkata, beliau melihat perwakilan kali ini lebih fokus dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Bagaimanapun, kita perlu lebih berusaha dalam gerak kerja pilihan raya akan datang bagi memastikan kemenangan parti.

“Usaha memenangi hati rakyat perlu dimulakan dari sekarang,” katanya. - UTUSAN ONLINE