Azizah Mohd. Dun
Azizah Mohd. Dun

Timbalan Pengerusi Wa­nita BN, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, kemenangan dalam pilihan raya umum itu akan menentukan kesinambungan pentadbiran kerajaan BN yang telah banyak menyumbang kepada pencapaian wanita di negara ini.

“Untuk berdepan PRU, tidak ada ruang untuk berpecah-belah dan kami Wanita UMNO contohnya sentiasa kuat bersama-sama.

“Jika kita teguh bersama-sama, kekal bersatu, kita akan kuat untuk menghadapi apa sahaja,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita KIMMA ke-40 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita KIMMA, Fatimah Zainudin. KIMMA merupakan rakan mesra BN.

Azizah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Ke­luarga dan Masyarakat berkata, kejayaan wanita Malaysia boleh dibanggakan kerana kesediaan kerajaan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengarusperdanakan peranan golongan hawa dalam semua aspek kehidupan.

Mengulas mengenai Skuad Sayang Jentera Pilihan Raya Wanita KIMMA yang turut dilancarkan hari ini, Azizah yang juga Naib Ketua Pergerakan Wa­nita UMNO berkata, kelebihan anggota skuad itu bertutur dalam bahasa Tamil boleh membantu usaha Wanita UMNO dan Wanita BN menyantuni pengundi di seluruh pelusuk negara termasuk golongan atas pagar.

Turut berlangsung perasmian perhimpunan agung Pergerakan Pemuda dan Puteri KIMMA hari ini, ma­sing-masing disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairul Azwan Harun dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sementara itu, Khairul Azwan dalam ucapannya mahu KIMMA lebih agresif mematahkan tohmahan-tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap kerajaan.

Khairul Azwan
Khairul Azwan

“Kita (BN) mahu dengar suara besar daripada KIMMA bagi menunjukkan kepada pembangkang bahawa seluruh gabungan kita sebenarnya bersatu-padu.

“KIMMA perlu lebih kerap muncul di media arus perdana untuk mempertahankan kerajaan dan pimpinan negara, bukan hanya di laman-laman sosial,” katanya. – BERNAMA