Dalam masa sama, Ahli Jawatankuasa Bersatu negeri, Dr. Ammar Hassan turut mengingatkan supaya mana-mana pimpinan dan ahli parti itu supaya tidak menggunakan media bagi meluahkan perbezaan pendapat.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Arau turut memberi peringatan bahawa mereka boleh dikenakan tindakan disiplin sekiranya mengunakan saluran media untuk melontarkan kritikan negatif sesama ahli dan pimpinan.

“Kita tidak teragak-agak untuk membawa isu kritikan di media ke badan disiplin Bersatu Pusat. Oleh itu hentikanlah sebarang kritikan negatif sesama ahli dan kepada pimpinan parti

kerana ia lebih memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat Perlis terhadap Bersatu negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pengguguran Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai Setiausaha Bersatu negeri.

Tambah Ammar, beliau juga ingin menyarankan kepada Wan Saiful supaya bertenang dan akur dengan keputusan tersebut.

“Jawatan setiausaha itu adalah hak mutlak pengerusi untuk melantik dan memecat. Jawatan setiausaha itu bukan ada gaji dan beliau (Wan Saiful) masih ada jawatan sebagai Pengerusi PTPTN yang bergaji dan rakyat khususnya peminjam PTPTN masih menanti keputusan kaedah pembayaran yang terbaik dari pengurusan tabung pinjaman itu.

“Di samping itu, beliau masih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Keputusan mengugurkan Wan Saiful telah dibincangkan dalam mesyuarat khas badan pimpinan negeri dua hari lalu. Sebab-sebab digugur tidak sesuai didedahkan kepada media,” katanya.- UTUSAN ONLINE