Pengerusinya, Ameir Hassan berkata, notis mengenainya telah diserahkan kepada Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu iaitu sejurus selepas barisan kepemimpinan mengadakan mesyuarat khas pada Sabtu lalu.


Katanya, keputusan tersebut diambil bagi memberi ruang kepada Wan Saiful untuk memberi tumpuan penuh kepada PTPTN.


“Dia (Wan Saiful) sibuk sangat dan banyak hal hendak diuruskan di dalam PTPTN dan kita tidak mahu membebankannya dengan tugas-tugas parti lagi. Lagipun banyak benda (di dalam parti) tidak diselaras dengan baik kerana banyak masanya ditumpukan kepada PTPTN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Tambahnya, kepemimpinan parti telah mengadakan perbincangan mengenainya dua hari lalu tanpa kehadiran Wan Saiful di dalam mesyuarat tersebut.


“Penguguran tersebut bukan disebabkan masalah dalaman parti dan sebagainya. Ia adalah proses biasa dalam mengukuhkan parti dan Wan Saiful selepas ini boleh beri fokus sepenuhnya kepada PTPTN.


“Bukan masalah dalaman, kalau ada yang sebut masalah dalaman, itu cuma pembangkang yang sengaja hendak laga-lagakan kita,” katanya.- UTUSAN ONLINE