Kesemua mereka kecuali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim dan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man tiba istana tersebut kira-kira pukul 11 pagi.

Sebelum itu, Azlan yang juga ADUN Bintong telah menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Kenangan Indah, Repoh, Kangar.

Difahamkan, pertemuan tersebut diadakan bagi mencari jalan penyelesaian mengenai kemelut Menteri Besar yang sudah berlarutan hampir sebulan.

Jumaat lalu, BN negeri yang diketuai Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin bersama tujuh wakil rakyat BN lain mengadakan sidang akhbar bagi memohon maaf kepada Raja Perlis berikutan salah faham berhubung soal pelantikan Menteri Besar sebelum ini.

Bagaimanapun, di sebalik permohonan ampun tersebut, kesemua wakil rakyat berkenaan sekali lagi menegaskan menolak Azlan sebagai Menteri Besar meskipun beliau mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin mengisi kerusi nombor satu negeri itu.

Sebelum itu, BN negeri turut bercadang untuk menghantar nama 11 wakil rakyat lain termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim kepada Tuanku Syed Sirajuddin untuk dipertimbangkan mengantikan Azlan sebagai Menteri Besar.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan ADUN BN itu tidak menghadirinya

Pada masa sama, Azlan juga dipecat keahliannya sebagaimana yang diumumkan Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat tersebut.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memperolehi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis.- UTUSAN ONLINE