TEH CHAI AAN
TEH CHAI AAN

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Teh Chai Ann ketika ditemui di sini semalam.

Beliau memaklumkan bahawa kesemua mereka akan memberi kerjasama kepada Azlan dalam soal pentadbiran di negeri ini.

Katanya, pendirian tersebut diputuskan ketika kesemua lapan ADUN itu menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau, dekat sini kelmarin.

“Dalam pertemuan dengan Raja Perlis itu, kami menjelaskan sebab mengapa tidak hadir pada majlis pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar baru-baru ini. Dalam masa sama, kami semua secara bersama juga memohon ampun kepada baginda (tidak hadir majlis pelantikan Azlan).

“Kami juga akur, menjunjung dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Raja Perlis. Kalau baginda hendak Azlan (sebagai Menteri Besar) kami ikut keputusan itu,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi MCA negeri.

Selain Chai Ann, tujuh lagi wakil rakyat BN yang hadir menghadap Tuanku Syed Sirajuddin pada Ahad lalu ialah Ruzaini Rais (Beseri); Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer); Azizan Sulaiman (Santan); Asmaiza Ahmad (Chuping); Rozieana Ahmad (Pauh); Hamizan Hassan (Kayang) dan Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat).

Bagaimanapun ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang pernah dinamakan sebagai calon Menteri Besar serta Azlan tidak hadir dalam pertemuan yang berlangsung selama kira-kira 30 minit itu.

Tambah Chai Ann, kesemua ADUN telah sepakat untuk memberikan kerjasama kepada Azlan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri selain berharap masalah berkaitan individu diketepikan terlebih dahulu.

Katanya, dalam soal pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pula terpulang kepada Menteri Besar untuk membuat keputusan.

“Siapa yang dilantik sebagai Exco perlu menerimanya dan jangan biarkan kemelut ini terus berlarutan kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat. Pada masa ini, saya boleh kata isu ini sudah selesai,” katanya.

Sebelum ini, Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan ADUN BN itu tidak menghadirinya. - UTUSAN ONLINE