Teliti dan renung-renungkan perkara ini:

1. Siapa jaga Islam di Selangor?

Walaupun ketiga-tiga Exco Pas itu tidak menjaga urusan hal ehwal Islam, namun setidak-tidaknya kelibat mereka dalam pentadbiran negeri boleh mewujudkan aspek ‘periksa dan imbang’ dalam menangani isu-isu berkaitan Islam.

Tanpa Pas, kekosongan ti­ga kerusi Exco itu barangka­li akan diisi oleh calon PAN yang berkeras menolak usaha memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Bahkan, Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah pernah menegur seorang ahli parlimen negeri itu kerana mencadangkan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dihapuskan. Sepatutnya titah baginda, wakil rakyat terbabit yang bukannya pun anak jati Selangor, mengambil inisiatif mendalami Undang-Undang Tubuh Negeri dan enakmen pentadbiran Islam negeri.

2. Perkenan baginda

Pelantikan Exco memerlukan perkenan Sultan. Krisis kedudukan Menteri Besar pada 2014 sendiri telah membuka mata, hati serta pandangan baginda terhadap politik di Selangor. Malah, Sultan Sharafudin Idris Shah dalam satu kenyataan pada 26 September 2014 menyifatkan pelantikan exco baharu di negerinya disebabkan PKR dan DAP tidak mempunyai keyakinan kepada menteri besar ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Titah baginda, kemelut dan pergolakan dalam Pakatan Rakyat yang bermula dari ‘Langkah Kajang’ itu titik mula usaha untuk menyingkirkan Abdul Khalid dari jawatannya.

3. Mengapa PAN tidak letak 
 jawatan?

Sebahagian besar pemimpin PAN sedia ada menang dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) atas tiket Pas. Kenapa tidak pula kosongkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing? Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) mesti jawab. Mereka ini berpaling tadah dan menggigit balik jentera pilihan raya Pas yang memberi mereka kemenangan.

Apa pula kata Datuk Dr. Mujahid Yusof (Parlimen Parit Buntar), Dr. Hatta Ramli (Parlimen Kuala Krai), Khalid Samad (Parlimen Shah Alam), Hanipa Maidin (Parlimen Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Datuk Seri Dr. Nizar Jamaluddin (DUN Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (DUN Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (DUN Pengkalan Kundor) dan Datuk Husam Musa (DUN Salor)?

4. Terhutang budi dengan Pas?

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilihat cukup rapat dengan Pas sehingga membolehkannya ‘merampas’ jawatan Menteri Besar dari presiden partinya sendiri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Kedudukan jawatan yang disandangnya hari ini hasil tindakan Pas yang enggan terjebak dengan agenda ‘Langkah Kajang’ yang direncanakan juak-juak dalam PKR.

5. Dipecat sejak Jun 2016 lagi?

Tiga Exco Pas berkenaan sepatutnya disingkirkan sejak Jun 2016 lagi apabila Pas enggan tunduk kepada gesaan pakatan pembangkang termasuk Mohamed Azmin supaya tidak menyertai persaingan tiga penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar.

6. Pakatan Rakyat ‘pakatan
 rapuh’

Tiga Exco Pas itu tidak perlu lepaskan jawatan Exco kerana Pakatan Rakyat semasa PRU-13 bukanlah gabungan yang diiktiraf. Cuma baru sekarang pembangkang terfikir untuk bernaung di bawah satu gabungan rasmi, Pakatan Harapan diketuai DAP. Tidak seperti BN yang memiliki piagam parti, 13 parti komponen yang tersusun serta setiap keputusan dibuat secara konsensus, Pakatan Harapan hanya baru-baru ini sahaja tergerak untuk menghasilkan satu logo/lambang gabungan rasmi.