Beliau berkata, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu mesyuarat baru-baru ini ada memaklumkan kemungkinan dua nama akan dicalonkan untuk Parlimen Setiawangsa dan salah seorang daripadanya adalah beliau.

“Kalau ini keputusannya, saya terima dengan terbuka bagaimanapun saya serah sepenuhnya kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memilih calon sebab itu adalah cara Barisan Nasional (BN).

“Namun sekiranya saya tidak dipilih, saya akan terus membantu dan menyokong BN,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Jualan Sentuhan Rakyat dengan kerjasama Badan Amal Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) di Kem Desa Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang menjual barangan keperluan harian dengan harga lebih murah 20 peratus daripada harga pasaran.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada berhasrat kembali bertanding pada PRU-14 dan kesediaannya jika dipilih menjadi calon BN, terutama di kerusi Parlimen Setiawangsa.

Zulhasnan yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pernah menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1999 hingga 2004 dan Ahli Parlimen Setiawangsa 2004 hingga 2013.

Terdahulu kira-kira 1,000 ekor ayam diagihkan kepada warga kem tentera secara percuma.- UTUSAN ONLINE

Video oleh Abdul Razak Latif