Video oleh MD. AZRIN ROSLY

Keputusan membubarkan BN Sarawak berkuat kuasa hari ini, diumumkan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas mencapai persetujuan sebulat suara oleh empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP).

Menurut Abang Johari, keputusan itu dicapai hasil perbinca­ngan, penelitian dan pertimba­ngan berdasarkan perkembangan politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“GPS akan bekerjasama de­ngan kerajaan Persekutuan atas dasar kepentingan nasional dan hak negeri serta kepentingan berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Maj­lis Tertinggi BN Sarawak di Ibu pejabat PBB di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang Presiden PBB berkata, pucuk pimpinan empat parti itu percaya sekarang merupakan masa sesuai untuk Sarawak bergerak atas landasan politik baharu, melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran sejajar dengan perubahan aspirasi, keperluan dan kehendak rakyat Sarawak yang memiliki berbagai kaum, budaya serta agama.

Dalam pada itu katanya, GPS akan melindungi kepentingan rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum secara inklusif.

“Parti gabungan baharu ini akan membolehkan kita memberi lebih tumpuan tentang kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya.

Beliau memberitahu, penubuhan GPS akan didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan dimaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat serta BN Pusat.

Dalam pada itu, Abang Johari turut mengucapkan terima kasih kepada BN Pusat yang menjadi rakan baik dan memberi fokus kepada kepentingan Sarawak sepanjang tempoh menyertai parti komponen bermula daripada Parti Perikatan sehingga zaman peme­rintahan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan beliau sendiri.

Kerajaan Sarawak menyertai BN sebagai parti komponen bermula dengan PBB pada 1974 sebelum diikuti SUPP, PRS dan PDP selepas itu.

Selama 34 tahun bersama, gabungan empat parti komponen itu berjaya mengukuhkan BN sebagai ‘kubu kuat’ atau ‘deposit’ BN sehinggalah PRU-14 apabila hanya memenangi 19 daripada 31 kerusi Parlimen yang disandang sebelum ini.