Video oleh LOKMAN HAKIEM ABD. SAMAD

Menurut Ahmad Zahid, apa yang berlaku sebenarnya ialah kesilapan pegawainya yang membuat pembayaran kad kredit dengan menggunakan duit yayasan dan bukannya menggunakan cek peribadi.

Beliau berkata, penjelasan itu telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bayaran balik ke akaun yayasan telah dibuat sepenuhnya pada 2016.

“Bayaran yang tidak mengikut Memorandum of Article Associations (Tatawujud Persatuan) telah dibayar semula pada 2016. Tidak berlaku penyelewengan dalam hal ini, tetapi tatacara pembayaran pegawai saya tidak betul.

“Saya telah gunakan wang simpanan yang ada untuk bayar semua sekali jumlah pembayaran yang tidak mengikut Tatawujud Persatuan, dokumen dan salinan cek pembayaran juga telah diberikan kepada SPRM hari ini,” katanya kepada selepas selesai memberikan keterangan kepada SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid memberikan keterangan kira-kira tujuh jam kepada SPRM berhubung dana yayasan berkenaan, beliau tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu pada pukul 9.50 pagi dan keluar pada pukul 5.15 petang.

Semalam Ahmad Zahid hadir memberi keterangan kepada SPRM selama lebih lapan jam berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Ahmad Zahid, beliau berharap penjelasan yang diberikan itu dapat merungkai persepsi yang amat negatif terutamanya selepas memenangi pertandingan jawatan Presiden UMNO pada Sabtu lalu.

“Apa yang penting saya telus dan memberi kerjasama baik kepada SPRM dan suruhanjaya itu juga telah mengambil kenyataan saya dengan cukup profesional.

“Yayasan yang dikendalikan oleh keluarga saya digunakan untuk amal jariah termasuk membina masjid, pusat tahfiz dan pusat hafalan al-Quran. Kita juga ada membantu rumah-rumah anak yatim, ibu tunggal dan juga asnaf,” katanya.

Oleh demikian, Ahmad Zahid berharap perkara itu jelas kerana beliau merupakan penyumbang terbesar kepada yayasan berkenaan sebagaimana diketahui turut mempunyai empat syarikat yang tersenarai.

Ketika diminta mengulas mengenai tangkapan ke atas Najib, Ahmad Zahid memaklumkan biar undang-undang yang menentukan kerana beliau mempercayai dan menghormati proses perundangan negara.