Lebih 5,000 pengunjung yang tidak berpeluang memasuki Dewan Merdeka kelihatan tekun mendengar ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam tinjauan Utusan Online, meskipun ruang yang disediakan adalah terhad namun ia tidak menghalang pengunjung untuk terus mendengar ucapan dasar presiden yang dipaparkan menerusi skrin gergasi.

Demi mendengar amanat pemimpin, segenap ruang di hadapan pentas utama seperti di tangga dan lantai tidak beralas dijadikan tempat duduk, tanpa mengira usia tua atau muda mereka kelihatan gembira kerana berpeluang mendengar ucapan biarpun sekadar melalui paparan skrin.

Tinjauan Utusan Online juga mendapati mereka sudahpun berada di ruang legar tingkat dua itu sejak awal pagi tadi walaupun suasana hangat mulai terasa kerana terlalu ramai pengunjung tidak mahu melepaskan peluang mendengar ucapan presiden. - UTUSAN ONLINE