Ketua UMNO Bahagian Pekan itu berkata, strategi politik berkenaan adalah bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO jika imej beliau sebagai ketua tercalar.

“Kalau imej saya sudah lemah dah tercalar, UMNO akan terjejas. Buat apa sahaja asalkan jenama saya rosak.

“Serang saya dan serang isteri saya. Kononnya kalau ada keputusan saya nak buat, saya mesti rujuk isteri saya walhal itu adalah fitnah sama sekali.

“Kita buat keputusan di Kabinet dan Majlis Tertinggi. Saya tak buat keputusan di rumah,” kata­nya ketika berucap merasmikan mesyuarat tahunan cawangan-cawangan dan pergerakan sayap-sayap UMNO Bahagian Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ke­tua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Abu Bakar Harun; Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan barisan kepemimpinan UMNO bahagian itu.

Dalam pada itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, beliau menerima layanan-layanan yang tidak sepatutnya walaupun menyerahkan kuasa pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan baik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, sebagai seorang yang mengamalkan dan percaya kepada prinsip demokrasi, beliau menerima keputusan rakyat pada PRU-14.

Pertama kali berucap di hadapan khalayak selepas PRU-14, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, ada pihak mengatakan beliau tidak akan menyerahkan kuasa dan mengisytiharkan darurat jika Barisan Nasional (BN) tewas namun perkara itu tidak berlaku.

“Saya tiada niat di hati nak buat Mageran. Saya serah kuasa dengan baik. Walaupun bila saya serah kuasa dengan baik, saya tidak terima layanan-layanan yang baik.

“Sebaliknya, saya terima tekanan demi tekanan termasuk melibatkan isteri dan anak-anak saya. Tempat tinggal anak saya digeledah, kasut bayi pun diambil. Hadiah perkahwinan anak saya pun diambil.

“Apa kena mengena isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kasut anak saya dan hadiah perkahwinan,” katanya.