Laungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan lebih 30,000 perwakilan dan pemerhati di Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC) ketika menyampaikan ucapan dasar itu adalah antara intipati utama bagi meniup semangat ahli parti untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam ucapan itu, Najib bukan sahaja memaparkan kejayaan negara di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang UMNO menjadi tonggaknya, tetapi juga melaungkan peringatan natijah yang bakal dialami oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia secara amnya jika parti itu tumbang.

Tegas Perdana Menteri, rakyat kini berhadapan dengan dua pilihan sama ada ingin melonjak negara ke masa hadapan di bawah UMNO dan BN atau berada di bawah cengkaman dinasti DAP.

“Pilihan raya kali bukan sekadar satu lagi pilihan raya umum kerana lebih termustahak daripada itu, jika kali ini, negara tergadai dan terlepas jatuh kepada pihak yang salah dan tidak bertanggungjawab, apa yang bapa-bapa terdahulu dan kita semua bina dengan segala susah payah selama ini, akan ranap dan musnah, hancur berkecai di depan mata,” katanya.

Sambil menyifatkan PRU-14 sebagai penentu nasib negara, Najib yang menyampaikan ucapan dasar kali kesembilan sebagai Presiden UMNO turut menyenaraikan ancaman terhadap orang Melayu jika parti itu kehilangan kuasa.

“Sudah tentu sekali kesumat pihak lawan, sejak sekian lama, terhadap keistimewaan orang-orang Melayu bumiputera, sebagai leluhur jati di pertiwi ini, dari bangsa yang mulia lagi merdeka, akan dipijak-pijak ma­ruah dan tergadailah keindukannya. Bah­kan lebih buruk daripada itu akan merempat, dicelakakan sehina-hinanya, se­hingga terbangsat di tanah air sendiri,” katanya.

Sehubungan itu beliau mene­gaskan kepada pemimpin dan ahli-ahli UMNO, perhimpunan agung dan pilihan raya kali ini, bukan hanya demi parti itu dan tidak juga untuk Barisan Nasional sebaliknya melaksanakan misi yang amat besar bagi menentukan destini masa depan umat serta negara keseluruhannya.

Oleh itu jika mereka tidak ma­hu sesuatu berlaku kepada orang Melayu dan negara, Najib secara lantang menyeru, “maka bersum­pah dan berjanjilah, bersetialah dan berikrarlah bahawa biar petir menyambar di langit, hatta bertangkup langit dan bumi, sampai ke titisan darah yang terakhir, kerajaan ini tetap kita pertahankan, tanah air ini tidak boleh diambil lawan.”

Dalam usaha meraih kejayaan tersebut, beliau berkata, UMNO perlu memerangi politik persepsi yang hampir menyebabkan UMNO tewas dalam pilihan raya umum walaupun di sudut realiti dan faktanya, parti itu berada dalam landasan yang betul berbanding pembangkang yang penuh sandiwara serta pandai bermain wayang.

“Satu perkara yang perlu diperjelaskan UMNO bukanlah parti bersifat rasis dan bukan antikaum Cina, tetapi ternyata kaum Cina dan sebahagian kaum India turut terseret, terperangkap menjadi mangsa persepsi dan pembohongan pembangkang,” te­gasnya.

Bagi merumuskan peringatan dan seruan beliau dalam ucapan hampir dua jam itu, Najib membentangkan apa yang beliau sifatkan sebagai lima seruan dan semboyan, perang penentu kemenangan UMNO dalam PRU-14.

Lima semboyan itu ialah bergerak sebagai satu pasukan, bergerak dengan penuh keyakinan, bertindak dengan pantas, bertarung di alam siber dan bertarung dengan semangat juang dan tekad yang tinggi.

Najib mengakhiri ucapan yang dianggap berjaya membangkitkan semangat pemimpin dan ahli UMNO dengan kata-kata;

“Perang kali ini kita gempur habis-habisan. Pilihan raya ini pasti mendapat menang dan Putrajaya tetap kita pertahankan.”