Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, meskipun motif pelaku di sebalik video berkenaan masih belum jelas, namun pihaknya menyelar perbuatan seumpama itu.

Sambil menyuarakan rasa terkejut terhadap video seks songsang didakwa melibatkan individu mirip seorang menteri kanan Kabinet, Dominic turut melahirkan rasa kecewa kerana skandal seks yang digunakan sebagai alat untuk menyerang parti lawan, merendahkan martabat negara.

“Saya beranggapan dengan pertukaran kerajaan baharu berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), budaya politik negara ini akan menjadi lebih sihat.

“Tidak seharusnya ada penyebaran video skandal seks seumpama itu di bawah pentadbiran ‘Malaysia Baharu’.

“Persaingan antara parti memerintah dan pembangkang harus berdasarkan polisi, ideologi dan prestasi bukannya video-video seks untuk ‘membunuh’ pihak lawan secara politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual dengan seorang daripadanya didakwa kelihatan menyerupai menteri kanan.

Hari ini, satu video dimuat naik seorang pemuda awal pagi tadi yang membuat pengakuan dirinya merupakan seorang daripada lelaki dalam video tersebut dan mendakwa seorang lagi lelaki adalah menteri berkenaan.

Dalam pada itu, Dominic memberitahu, sepanjang 20 tahun lalu, penggunaan skandal seks untuk menentang parti lawan bukanlah kali pertama berlaku di negara ini.

Kata beliau, seawal tahun 1998, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dipenjarakan atas kesalahan liwat; bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri Chua Soi Lek juga meletak jawatan berikutan penyebaran video seks, malah sekali lagi Anwar dipenjarakan setelah disabit bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

“Dalam tempoh 20 tahun, terdapat empat skandal seks melibatkan ahli politik, malah perkara ini amat menyedihkan bagi saya mengenai politik negara. Adakah skandal seks atau video yang dirakam secara rahsia merupakan satu-satunya cara untuk menjatuhkan parti lawan,” katanya

Tambah Dominic, beliau telah mengarahkan Pemuda Gerakan untuk membuat laporan berhubung penyebaran video seks itu agar pihak polis dapat bertindak menyiasat kes tersebut.

Beliau menegaskan Gerakan tidak berhasrat untuk menjatuhkan mana-mana individu dalam situasi demikian dan berharap agar polis dapat membawa pelaku yang bertanggungjawab ke muka pengadilan selain memastikan tidak ada lagi kejadian merakam video secara rahsia berlaku serta memulihkan persekitaran politik sihat untuk Malaysia. - UTUSAN ONLINE