Kali ini, menerusi siaran langsung dalam akaun Facebook beliau, bekas Perdana Menteri itu mahu memperbetulkan persepsi orang ramai mengenai jawapannya berhubung pemberian dana RM2.6 bilion tersebut dalam satu temubual bersama wartawan Al Jazeera baru-baru ini.

Dalam sesi temubual itu, Najib memberi jawapan beliau tidak menentusahkan sumbangan itu yang disalur ke akaun peribadinya adalah daripada Arab Saudi.

Bekas Presiden UMNO itu hari ini menegaskan bahawa jawapan tersebut telah diputar belit pihak tertentu untuk memberi maksud berlainan daripada apa yang ingin disampaikan beliau.

"Jawapan saya dalam konteks, saya tidak periksa pihak yang hantar dana tersebut oleh kerana tidak ada isyarat atau teguran daripada Bank Negara Malaysia (BNM), bank yang menerimanya dan pegawai-pegawai saya.

"Malangnya jawapan saya telah diputar belit pihak berkenaan untuk beri maksud lain," kata beliau.

Najib turut mengambil kesempatan menerusi siaran langsung itu untuk mengulang penegasan bahawa beliau tidak mencuri dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jelas Najib, semua dana 1MDB adalah daripada sumber pinjaman dan tidak mungkin beliau akan mencuri wang yang perlu dibayar balik.

"Apatah lagi dimasukkan ke dalam akaun peribadi yang diketahui puluhan pegawai. Tidak mungkin perkara ini boleh disembunyi atau dielak daripada dikesan oleh pihak berkuasa," ujar beliau.

Walau bagaimanapun, Najib mengaku sesungguhnya bukan mudah untuk beliau menjelaskan perkara itu memandangkan dirinya telah pun didakwa di mahkamah.

Namun begitu, beliau percaya bahawa pihaknya mempunyai butir-butir dan saksi lengkap yang akan memperjelaskan perkara itu apabila tiba masanya.

"Tidak ada sesiapa yang tidak akan tersinggung apabila dilempar dengan pelbagai tohmahan. Saya ingin nyatakan dengan tegas bahawa saya bukan seorang pencuri, perompak, mahu pun penyangak," jelas beliau. - UTUSAN ONLINE